Selasa, 22 Februari 2011

SEJARAH DAN KEGIATAN MASJID BATU 48 (AR-RAHMANIAH), BALING


DISEDIAKAN OLEH
NURUL NASUHA BINTI MANSOR
NO. MATRIK : 2010814302
KUMPULAN : ASD2En
DISEDIAKAN UNTUK
USTAZ ABDUL AZIZ BIN HARJIN
PROGRAM
DIPLOMA SAINS
TARIKH HANTAR
23 FEBRUARI 2011


ISI KANDUNGAN
1.    TAJUK
2.    ISI KANDUNGAN
3.    ABSTRAK
4.    KONSEP
5.    PENDAHULUAN
6.    HURAIAN
·         Definisi masjid atau surau.
·         Sejarah masjid batu 48 (Ar-rahmaniah).
·         Kegiatan-kegiatan di masjid Ar-rahmaniah.
7.    PENUTUP
8.    RUJUKAN

ABSTRAK
Umat Islam menjadikan masjid sebagai tempat beribadat yang khusus untuk menunaikan solat. Ia juga berfungsi sebagai pusat kebudayaan, muamalat dan perkembangan dakwah islamiyah, serta pusat aktiviti umat Islam.Masjid dijadikan tempat untuk berkumpul dan berbincang sama ada dalam hal perdagangan, perundangan, penyebaran ilmu dan sebagainya. Ada yang beranggapan masjid hanya tempat untuk mendirikan solat, sedangkan banyak aktiviti keagamaan turut diadakan di sana. Takrif masjid yang biasa diguna pakai adalah tempat khas untuk bersolat dan telah digunakan untuk solat Jumaat melebihi tiga kali. Manakala bagi tempat solat yang tidak mengadakan solat Jumaat lebih dikenali sebagai surau.
KONSEP
Masjid merupakan rumah Allah yang suci dan merupakan tempat untuk beribadat kepada orang muslim. Masjid juga berperanan sebagai pusat pendidikan islam. Penyebaran ilmu agama islam sebenarnya telah bermula dari masjid sejak zaman permulaan islam lagi. Pada ketika itu, Rasulullulah SAW bersama-sama umat islam yang lain telah membina sebuah masjid yang diperbuat daripada batang-batang pokok kurma, atapnya pula diperbuat daripada daun-daun kurma dan lantainya pula hanya berlapikan pasir sahaja. Masjid ini telah diberi nama sebagai Masjid Nabawi. Di Malaysia pula, masjid-masjid yang dibina turut juga menjadi salah sebuah pusat pendidikan islam selain menjadi tempat untuk beribadat kepada Allah SWT. Disamping itu, pendidikan islam bukan sahaja terhad disampaikan melalui masjid mahupun surau malah pendidikan islam ini turut juga disebarkan di rumah-rumah tok guru yang mendalami ilmu islam dan juga di sekolah-sekolah pondok. Pada kebiasaannya, sekolah-sekolah pondok ini hanya terdapat di kawasan perkampungan sahaja dan mereka hanya menumpukan perhatian yang lebih terhadap ilmu sirah, fiqah, tauhid, akhlak dan juga tafsiran Al-Quran. Hasilnya, lebih ramai lagi masyarakat yang semakin berminat untuk mendalami ilmu agama ini dan memudahkan lagi agama islam untuk berkembang dengan pesat. Konsep surau ini sebenarnya berperanan sama sahaja dengan masjid cuma yang membezakanya hanyalah saiznya yang lebih kecil berbanding dengan masjid. Selain itu juga, perbezaan diantara masjid serta surau adalah di masjid boleh buat solat fardhu jumaat tapi di surau tidak boleh. Di masjid juga boleh beriktikaf tapi sekiranya di surau, tidak dapat pahala untuk beriktikaf. Bukan itu sahaja, orang arab turut memanggil masjid sebagai jame' manakala surau pula sebagai musolla iaitu tempat sembahyang.
     
 PENDAHULUAN
Masjid merupakan simbol fizikal yang penting dalam islam. Masjid bukan merupakan tempat untuk beribadat sahaja, tetapi juga merupakan pusat perbincangan tentang islam dalam bentuk khutbah. Ini mencetuskan kesedaran dan membolehkan penukaran idea dan pengetahuan sesame umat islam ; dalam terma syariah, ILMU dapat dikongsi. Seni bina masjid di seluruh dunia selalunya dipengaruhi oleh agama, masyarakat umum, budaya dan falsafah. Kecantikan sesebuah masjid tidak seharusnya dihargai sebagai hasil seni yang agung saja tetapi juga sebagai ringkasan syariah.
       Peranan utama masjid ialah tempat dimana semua umat islam boleh berkumpul untuk beribadah kepada Allah S.W.T . Biarpun begitu, pada zaman sekarang masjid dikenali kerana kepentingan utamanya kepada mayarakat umum umat islam dan demonstrasi syariah yang agung. Sekarang, kebanyakan masjid mempunyai kubah, menara dan ruangan sembahyang. Masjid mula-mula didirikan di Semenanjung Arab tetapi sekarang boleh dikatakan setiap negara di seluruh dunia mempunyai masjid. Masjid bukan saja tempat untuk sembahyang  tetapi juga tempat untuk mendalami tentang islam dan tempat untuk mengeratkan silaturrahim. 



 HURAIAN
DEFINISI MASJID.
Definisi masjid boleh difahami dalam pelbagai tahap. Secara umumnya masjid dimaksudkan sebagai ‘tempat sujud’ (sajadah), iaitu ‘tempat mengerjakan sembahyang’. Ini boleh membawa pengertian bahawa keseluruhan bumi adalah masjid kerana sembahyang boleh dikerjakan dimana-mana saja di atasnya (Hadith). Manakala tempat khusus bagi mengerjakan sembahyang disebut musolla. Malah tikar sembahyang turut disebut ‘musala’, mungkin bertujuan menyampaikan maksud ‘tempat sembahyang’. Definisi masjid dari sudut sosio-politik dapat difahami dengan mempelajari kaedah dan peranannya seperti mana yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya. Dalam konteks ini masjid adalah sebuah tempat berkumpul. Lebih tepat lagi ia adalah sebuah tempat masyarakat berkumpul bagi tujuan mendapatkan secara kolektif keredhaaan dan keberkatan Ilahi. Ia tentunya mengandungi unsur sakral jika dibandingkan dengan tempat perkumpulan yang lain seperti padang bola, pasar, bandar , jalan dan laluan  dan sebagainya. Lebih penting lagi masjid adalah sebuah institusi dimana pelbagai aktiviti seperti urusan pentadbiran, mahkamah, mengatur strategi peperangan, ucapan politik, perdebatan, menerima tetamu, membantu musafir dan si miskin, bersyair, dan sebagainya berlaku dalam kawasan dalaman  dan perkarangan terbuka.

DOA MASUK MASJID :

Maksudnya :
“Aku berlindung dengan Allah yang maha Agung dan dengan wajahNya Yang mulia dan kekuasaanNya yang kekal dari syaitan yang direjam.Dengan nama Allah dan selawat serta salam ke atas Rasulullah.Ya Allah bukakanlah kepadaku pintu-pintu rahmatMu.”


 DOA KELUAR MASJID :

Maksudnya :
“Dengan nama Allah dan selawat serta salam ke atas Rasulullah. Ya Allah, aku memohon kepadaMu limpah kurniaanMu. Ya Allah, peliharalah daku dari syaitan yang di rejam.”


SEJARAH MASJID AR-RAHMANIAH.
Kebiasaannya setiap kampung atau mukim mempunyai sebuah masjid atau surau. Masjid menjadi elemen penting dalam pembentukan sebuah kampung yang sempurna. Masjid yang dipilih dalam menyiapkan tugasan ini ialah sebuah masjid yang terletak di Batu 48 Jalan Weng, Bongor, Baling Kedah yang  diberi nama Masjid Ar-rahmaniah.  Masjid ini dibina pada tahun 1954. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Sekolah Maktab Mahmud, Baling. Masjid ini diberi nama Ar-rahmaniah bersempena dengan nama penghulu pertama kampung  Batu 48 iaitu Abdul Rahman bin Awang. Sebelum masjid ini dibina, sebuah masjid yang terletak di hujung kampung Batu 48, iaitu Masjid Lama Padang Temu  digunakan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan. Tetapi masjid tersebut tidak diguna lagi setelah  masjid Ar-rahmaniah siap dibina. Pada asalnya masjid ini dibina hanya untuk memuatkan 100 para jemaah saja tetapi pada tahun 1980 masjid ini telah diperbesarkan untuk memuatkan lebih ramai para jemaah. 

Terdapat pelbagai kemudahan yang di sediakan oleh pihak masjid kepada orang ramai. Masjid ini mempunyai empat tandas perempuan dan empat tandas lelaki. Selain itu masjid ini juga mempunyai  4 bilik mandi untuk perempuan dan lelaki.  Terdapat lebih kurang 20 pili air di masjid ini yang dikhaskan untuk mengambil wuduk. Cermin muka juga  terdapat di tandas. Bagi kaum wanita pula terdapat juga dua  buah cermin muka di letakkan di bahagian tepi. Selain itu terdapat juga sebuah tabung yang di sediakan untuk kegunaan membaiki kerosakkan bilik air dan membayar upah untuk aktiviti pembersihan kawasan bilik air.

Selain itu, masjid ini juga mempunyai ruang solat yang luas yang dapat memuatkan lebih kurang 400 orang dalam satu-satu masa. Masjid ini juga banyak mendapat sumbangan dari orang ramai dan AJK kampung ini seperti sumbangan duit untuk membeli peralatan di masjid contohnya sejadah, telekung, penyapu, jam, kipas  dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga orang kampung yang mewakafkan telekung, kain pelekat dan songkok. Masjid ini mempunyai lebih kurang 15 helai telekung, 10 helai kain pelekat, dan 40 helai sejadah.

Bahan bacaan juga agak banyak di masjid ini kerana terdapat banyak pihak yang memberi sumbangan. Pihak masjid juga mendapat peruntukkan dari AJK kampung ini untuk membeli bahan bacaan seperti Al Quran, kitab Yassin, Al-Quran terjemahan dan banyak lagi. Masjid ini  mempunyai perpustakaan yang terletak di bahagian belakang. Kini masjid ini mempunyai 35 buah Al- Quran, 60 buah kitab Yassin, dan 20 buah Qur’an terjemahan. Terdapat 7 buah rak buku di masjid ini buat masa sekarang dan mengikut perancangan pihak masjid akan menambahkan beberapa buah rak buku lagi kerana bilangan buku-buku semakin bertambah.

Sistem di masjid ini berada dalam keadaan baik dan lengkap. Terdapat 4 speaker dan 5 mikrofon. Keselamatan sistem ini agak terjamin kerana masjid akan sentiasa di awasi oleh AJK masjid pada setiap masa. Kesempurnaan dan keceriaan sesebuah masjid itu juga bergantung kepada keindahan susun lanskapnya. Masjid ini mempunyai 50 buah pasu bunga  dan kawasan parking yang mencukupi. Masjid ini  mempunyai tiang bendera yang terletak dekat dengan pintu masuk hadapan masjid. Peralatan di masjid ini agak mencukupi. Perkakas mandi mayat, pengusung keranda dan van jenazah juga terdapat di masjid ini. Pengurusan jenazah dan kubur juga di bawah pengurusan pihak masjid. Perbelanjaan seperti bil air yang digunakan untuk kegunaan kubur juga di bayar oleh pihak masjid.

KEGIATAN-KEGIATAN DI MASJID AR-RAHMANIAH.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan di masjid ini demi memanfaatkan masa serta menjemput anak-anak di kawasan sekitar bongor untuk turut serta dalam majlis keilmuan yang telah dianjurkan. Kegiatan-kegiatan yang pernah dijalankan di masjid Ar-rahmaniah ini bukan sahaja terhad dalam melakukan ibadah,bahkan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan dan kerohanian juga turut dijalankan. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah :

1. Sambutan Maal Hijrah, Isra’ Mikraj serta Mualidur Rasul

» Setiap kali menjalangnya Maal Hijrah atau Isra’ Mikraj, penduduk di sekitar bongor akan bersama-sama menyambut kehadiran hari yang penuh mulia ini. Seperti kebiasaanya, ceramah mengenai Maal Hijrah atau Isra’ Mikraj diadakan bagi peringatan dan pengetahuan untuk generasi muda mengenai zaman Rasulullah SAW pada suatu ketika dahulu. Sekolah Maktab Mahmud yang terletak bersebelahan dengan masjid ini turut digunakan dalam menjayakan ceramah tersebut.

2. Aktiviti bergotong-royong

»Pada setiap tahun, aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong akan diadakan untuk membersihkan kawasan sekitar masjid. Hal ini bertujuan semata-mata untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga bagi penduduk di sekitar Bongor ini. Pada masa yang sama, kebajikan masjid turut dijaga dengan adanya sumbangan daripada penduduk-penduduk. Sumbangan tersebut pada kebiasaanya berbentuk duit (derma kepada tabung masjid), sejadah, Al-Quran dan lain-lain.

3. Aktiviti Pada Bulan Ramadhan Al-Mubarak

»Sepanjang Bulan Ramadhan, pelbagai aktiviti telah diadakan. Selain daripada sembahyang terawih secara berjemaah, pihak masjid juga turut mengadakan bacaan Al-Quran secara bertadarus, mengadakan ceramah tentang kebaikan  bulan ramadhan serta mengadakan qiamulail. Aktiviti-aktiviti ini sememangnya  menarik minat anak-anak remaja untuk menghadirkan diri. Majlis berbuka puasa turut diadakan.Selain itu, masjid ini juga digunakan sebagai pusat untuk mengajar anak-anak  membaca Al-Qur’an.

“Mengajarkan Al-Quran pada anak-anak merupakan salah satu dari pokok-pokok Islam agar mereka tumbuh diatas fitrahnya dan agar cahaya hikmah lebih dahulu menancap pada hati-hati mereka sebelum hawa nafsu dan sebelum hati-hati mereka dihitami (dipenuhi) oleh kekotoran maksiat dan kesesatan”

(Al Imam, Al Hafidh, As Suyuthi)


4. Majlis bacaan  Yaasin dan tahlil serta solat hajat
»Lazimnya, majlis bacaan yaasin serta tahlil akan dijalankan pada setiap minggu iaitu pada malam jumaat. Pada Bulan Ramadhan pula, ahli jawatankuasa masjid akan menyerahkan borang untuk menderma serta mengambil nama arwah bagi tujuan tahlil di setiap rumah. Solat hajat pula akan dilaksanakan terutamanya pada musim peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Penilaian Malaysia (SPM). Dengan ini, ramai pelajar serta ibubapa  akan turut serta dalam bersama-sama mendoakan kejayaan anak mereka.



PENUTUP
Peranan masjid dan surau ini bukan sahaja mampu mengeratkan lagi silaturrahim sesama hambaNya malah ia juga turut membawa kita ke satu tahap lagi di mana kita sendiri mampu mengubah corak pemikiran kita yang serba kekurangan. Kita sebagai seorang anak remaja yang bakal memimpin negara satu masa nanti harus berfikir dengan lebih jauh ke mana arahnya destinasi kita pada masa akan datang. Kita juga seharusya berwaspada dalam melaksanakan tanggungjawap sebagai seorang makhluk ciptaaNya. Oleh yang demikian, wajarlah kita bersama-sama mencari serta mendalami ilmu agama Islam yang penuh dengan kebenaran ini.

RUJUKAN
1.    Imam Haji Ishak Haji Ibrahim (Imam).
2.    Haji Mahmood bin Man (Bilal).
3.    Abdullah bin  Mad Ali (Siak).
4.    http://abdazizharjin.blogspot.com